Thursday, March 8, 2007

PERAMPASAN

PERAMPASAN

Keganasan yang paling buruk menimpa bumi AS dilakukan pada 11 September, 2001, apabila sekumpulan pengganas antara empat hingga lima orang mengambil alih empat pesawat Penerbangan United Airlines 93 dan 175 dan Penerbangan American Airlines 11 dan 77. Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mengetahui daripada saksi yang berhubung melalui telefon sel dengan penumpang di dalam pesawat yang dirampas bahawa pengganas tersebut telah berjaya mengelakkan diri daripada kawalan keselamatan dan menggunakan alat pemotong kotak kadbod dan pisau cukur untuk merampas keempat-empat pesawat. Pihak penyiasat juga percaya bahawa para perampas ada menyeludup beberapa pisau jenis lain melepasi keselamatan di lapangan terbang dan memadamkan transponder kokpit untuk mengelak dari dikesan oleh pengawal-pengawal lalulintas udara. Pakar-pakar keselamatan berkata para perampas pasti telah meninjau lokasi-lokasi mereka dengan teliti, memilih penerbangan-penerbangan dan lapangan-lapangan terbang yang boleh memberi mereka peluang kejayaan yang besar.
Peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalam Penerbangan United Airlines 93 adalah yang paling dikenali. Bermula dari Newark, New Jersey menuju ke San Fransisco, California, pesawat Boeing 757 itu telah diisi dengan muatan minyak yang penuh yang boleh membawanya melintasi benua Amerika. Perampas-perampas juga memilih lapangan terbang metropolitan yang sibuk. Mereka memilih pesawat yang membuat penerbangan terus tanpa henti, yang berlepas pada pagi hari Selasa, seminggu selepas cuti Hari Buruh - faktor-faktor yang pasti akan menjamin kekurangan penumpang dan yang lebih penting, mendapat kurangan tentangan. Penganas tersebut nampaknya mendapat bantuan lain. Menurut sumber, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) menerima ancaman bom terhadap tiga atau empat pesawat lain yang berada di udara pada pagi itu bagi mengalih perhatian supaya pesawat yang dirampas mempunyai lebih masa untuk mengubah haluan tanpa disedari.
Mengikut log radar, Penerbangan United Airlines 93 berada di udara dari 8.44 pagi dan terbang menuju ke barat tanpa sebarang kejadian sehingga tiba di Cleveland, Ohio, kira-kira 50 minit kemudian. Para penumpang memberitahu bahawa perampas-perampas mengayun pemetik api dengan pisau lipat yang tersembunyi untuk merampas pesawat tersebut sebaik sahaja ia berada di udara. Pada jam 9.37 pagi, pesawat itu membuat pusingan ke selatan dan berpatah balik ke tempat ia berlepas. Gambaran yang diberi oleh penumpang Penerbangan 93 menunjukkan bahawa keadaan di dalam pesawat menjadi huru-hara. Empat lelaki yang memakai lilitan merah di kepala dan bercakap dengan loghat, membunuh seorang penumpang, kemudian meluru ke arah kokpit, mencederakan kedua-dua juruterbang dan mengambil alih pesawat. Para penumpang lain serta anak-anak kapal dibahagikan kepada dua kumpulan - beberapa orang ditahan di kabin kelas pertama, dan kebanyakannya di bawa ke dapur di bahagian belakang pesawat.
Seorang daripada perampas - yang menjaga penumpang-penumpang di dapur - mempunyai kotak kecil berwarna merah yang diikat pada pinggangnya dengan tali pinggang; dia memberitahu kotak tersebut adalah bom. CNN melaporkan bahawa pihaknya telah mendapat sebahagian daripada transkrip perbualan kokpit dan telah bercakap dengan sumber yang mendengar pita rakaman kawalan lalu- lintas udara. Sumber itu berkata bahawa seorang lelaki yang tidak fasih berbahasa Inggeris berkata: "Ini kapten bercakap. Duduk di tempat masing-masing. Ada bom di dalam pesawat. Duduk diam-diam. Kita akan memenuhi permintaan mereka. Kita akan kembali ke lapangan terbang."
Penumpang-penumpang yang menggunakan telefon sel mengetahui tentang nahas di Pusat Dagangan Dunia dan merumuskan rancangan tindakbalas terhadap perampas-perampas. Setelah membuat beberapa pergerakan yang ganjil di udara - yang menunjukkan berlaku perebutan untuk menguasai pesawat - Penerbangan 93 merempuh, muncungnya dahulu, di sebuah tanah lapang dekat Shanksville, Pennsylvania dan mengorbankan kesemua penumpang.
Cerita yang sama diperolehi daripada tiga pesawat lain yang dirampas pada 11 September. Perampas memberitahu para penumpang bahawa pesawat-pesawat yang berlepas dari Boston, Massachusetts ke Los Angeles, California, akan digunakan sebagai bom dan akan terhempas di Bandaraya New York. Seorang anak kapal di dalam salah sebuah pesawat - Penerbangan American Airlines 11 membuat panggilan telefon sel dan berkata beberapa "lelaki Timur Tengah" telah menggunakan pisau untuk mencederakan penumpang-penumpang. Panggilan telefon sel ini menjelaskan bagaimana beberapa orang lelaki yang hanya bersenjatakan pisau kecil atau alat pemotong kotak dapat merampas pesawat dengan pantas; mereka tidak teragak-agak untuk menumpahkan darah.
Dalam Penerbangan American Airlines 77, seorang penumpang menceritakan bagaimana beberapa orang lelaki menggunakan pisau dan alat pemotong kotak untuk menggesa penumpang ke bahagian belakang pesawat Boeing 757 itu setelah berlepas dari Lapangan Antarabangsa Dulles di Washington dalam perjalanan ke Los Angeles. Kira-kira sejam setelah berlepas pada pagi hari Selasa, Penerbangan 77 menjadi misil besar yang ditujukan ke Washington,D.C. Sasaran bertukar dengan tiba-tiba apabila juruterbang yang tidak dikenali membuat pusingan yang tajam seperti jet pejuang, menurut para pemerhati. Pesawat itu berpusing pada 270 darjah ke kanan untuk menghampiri Pentagon dari arah barat daya; ia jatuh di bawah paras radar dan hilang daripada skrin pengawal, menurut sumber. Pakar penerbangan berkata pesawat tersebut diterbangkan degan cekap, seakan juruterbang yang terlatih - berkemungkinan salah seorang perampas - yang memandunya.
Menurut pakar-pakar penerbangan dan keselatamatan, sekiranya juruterbang-juruterbang pesawat tersebut dibunuh, dipaksa keluar daripada kokpit, atau diganggu upayanya, maka agak mudah untuk memandu jet jumbo itu ke arah Pusat Dagangan Dunia atau Pentagon. " Kita harus membuat tanggapan bahawa juruterbang-juruterbang tidak lagi merupakan faktor utama; mereka samada ditembak atau dibunuh ," kata Kolonel Tentera Udara Bersara Dale Oderman.

No comments: