Thursday, March 8, 2007

AMALAN NILAI DAN BUDI BAHASA DALAM MASYARAKAT MALAYSIA.

Amalan Nilai dan Budi Bahasa

1. Penerapan dan amalan budi bahasa sama ada dalam komunikasi, ucapan, pertuturan atau panggilan atau dalam perlakuan dan pergaulan dapat dipraktikkan dalam:-
• Institusi Kekeluargaan• Institusi Kemasyarakatan• Institusi Pembelajaran• Institusi Perkhidmatan
Institusi Kekeluargaan
“Subur tumbuhnya pokok kelapaBuahnya banyak bertali - taliTurutlah kata Ibu dan BapaTakbur jangan sekali - kali...”
Antara Ibu Bapa dan Anak-Anak.
• Ibu bapa wajib mendidik, membimbing dan menegur anak-anak supaya bertutur dengan baik dan betul serta mempunyai kelakuan terpuji. Ibu bapa juga mesti menunjukkan teladan terbaik tentang budi bahasa.
• Ibu bapa harus mendidik anak-anak supaya patuh, taat, hormat dan menyayangi mereka. Elok juga kita mendidik anak-anak berkomunikasi dengan jelas, benar dan betul dan tidak khuatir untuk ditegur jika berlaku kesalahan. Di samping itu, pertuturan mestilah dalam nada yang lembut, sederhana, tidak keras atau meninggi.
• Ibu bapa juga patut mengajar anak-anak menghormati orang lain, menghargai alam sekitar, tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Apabila berada di tempat makan hendaklah diajar agar tertib dan beradab semasa makan. Mereka tidak perlu gelojoh dan bersikap tamak kepada orang lain. Demikian juga baik diajar tidak berbuat kotor atau membuang sampah di merata tempat.
• Ibu bapa perlu mendidik agar pertuturan antara anak- anak sentiasa sopan, ada perasaan setia dan saling hormat menghormati. Amat baik jika mereka sentiasa menghormati abang atau kakak dan sebaliknya terhadap adik dan yang paling kecil.
Antara Anak-Anak dan Ibu Bapa.
• Tutur kata anak kepada ibu bapa hendaklah sopan, lembut dan penuh hormat. Anak-anak tidak patut menghina kedua ibu bapa di dalam apa jua keadaan sekali pun. Anak-anak tidak boleh mengatakan `cis' kepada kedua ibu bapa atau memanggil dengan nama mereka.
• Apabila berhadapan dengan kedua ibu bapa hendaklah berpakaian dan bertingkah laku dengan sopan. Balasan baik anak-anak kepada ibu bapa dapat dilihat apabila anak-anak berkorban untuk kedua ibu bapa dan menjaga ibu bapa apabila mereka sudah tua. Mereka patut sentiasa berdoa agar kedua ibu bapa di dalam sihat dan sentosa, panjang umur dan dimurahkan rezeki oleh Tuhan.
Antara Adik Beradik.
• Hubungan antara adik beradik adalah disusun oleh aturan kelahiran: dari sulung kepada tengah dan bongsu. Yang muda mesti hormatkan yang tua, adik menghormati kakak dan abang dengan memanggil secara baik seperti yang biasa dalam masyarakat; ‘Abang Long’, ‘Abang Ngah’, ‘Kak Cik’ atau sebagainya. Setiap pergaulan dan kelakuan antara adik beradik perlulah dengan sopan dan santun supaya sentiasa mesra dan baik. Kadangkala hubungan adik beradik boleh jadi bergaduh. Elok kita elakkan dari perselisihan dan pergaduhan ini.
• Rasa hormat dan sopan antara adik-beradik akan melahirkan kemesraan dan rasa setiakawan. Begitu juga sesama adik-beradik kita saling membantu.
Antara Saudara Mara.
• Komunikasi dan pergaulan antara saudara mara juga harus berasaskan rasa hormat, sopan dan santun.
• Kita hormat saudara mara kita kerana kita sentiasa ada hubungan darah dan perkahwinan dengan saudara mara sebelah ibu dan bapa. Begitu juga kita ada hubungan keluarga dengan mertua dan ipar.
• Bergaul dengan saudara mara kita perlu mengikut taraf mereka dalam keluarga serta mengikut umur mereka - lebih tua atau lebih muda. Jika kita seorang anak buah atau anak saudara maka kita sentiasa menyapa bapa saudara atau emak saudara dengan panggilan pangkat mereka; “Apa khabar Pak Long?”,“Sudah makan Pak Cik?”. Berbahasa seperti ini amat baik dan menunjukkan sopan santun yang tinggi.
• Kunjung mengunjung antara saudara mara adalah amat baik dan dapat merapatkan hubungan. Apabila ada upacara seperti menyambut hari lahir, perkahwinan, ada berita tentang keuzuran kita patut mengunjungi. Kadang-kadang elok juga kita bercuti bersama saudara mara.
• Setiap anggota saudara mara patut sentiasa diperkenalkan antara satu sama lain. Perkenalan akan merapatkan hubungan dan tidak ada jarak sesama kita. Seperti kata pepatah: yang jauh didekatkan dan yang dekat sentiasa berhubungan.
Institusi Kemasyarakatan
“ Yang tua dihormati... Yang muda disayangi...”
Generasi Tua Dengan Yang Muda
• Dalam hidup sekampung, mesti sentiasa ada rasa hormat kepada yang tua. Kita mendahulukan yang tua dan yang muda dikemudiankan, tidak kira lelaki atau perempuan. Kita sapa mereka dengan panggilan seperti keluarga. Yang tua boleh dipanggil ‘Pakcik’ atau ‘Makcik’; ‘Abang’ atau ‘Kakak’ atau ‘Adik’ jika lebih muda.
• Bertutur, bercakap atau berbual dengan yang tua mestilah menggunakan nada suara yang lembut dan kelakuan yang sopan.
• Tidak digalakkan yang muda menyampuk percakapan yang tua, walau pun di dalam keadaan biasa. Begitu juga tidak digalakkan yang muda berjenaka dengan tua, apatah lagi mempermainkan yang tua. Itu tanda kurang ajar dan biadab.
• Pertuturan dan kelakuan kasar tidak diizinkan dalam sebarang pergaulan. Sopan santun dan tata susila akan melahirkan hubungan baik yang berterusan, walau pun umur dan pengalaman berbeza ataupun berbeza jantina. Malah, antara kenalan baru pun kelakuan kasar mesti dielakkan.
• Dalam pada itu, yang tua perlu memberi peluang kepada yang muda untuk memberi pendapat atau pandangan. Buah fikiran mereka harus juga dihargai terutama jika bernas. Pendapat yang kurang bernas patut diperbaiki dan diberi tunjuk ajar dengan cara yang baik. Elakkan dari bersikap memerli atau memandang rendah.
• Yang muda pula jangan cepat membantah jika pendapat tersebut kurang baik. Elok jika pendapat orang ditolak dengan secara yang halus dan merendah diri.
• Yang tua atau yang muda jangan suka bermegah- megah atau menunjukkan sikap sombong. Kejayaan seseorang itu patut dihargai dan disanjung dengan ucapan tahniah dan galakan. Tidak patut seseorang yang berjaya dipandang serong atau diperli untuk merendahkannya.
Pemimpin Masyarakat dan Orang Awam
Pemimpin ibarat
“ Pohon rendang di tengah padang Batangnya untuk bergantung Buahnya untuk dimakan Daunnya untuk berlindung...”
• Setiap orang di dalam masyarakat adalah sama. Kerana peranan sosial dan kemampuan ekonomi maka ada yang lebih dipandang tinggi dan dihormati. Walau pun begitu, kita perlu saling menghormati antara satu sama lain.
• Kita patut menghormati seseorang yang dipilih menjadi pemimpin. Sudah pastilah dia terpilih kerana lebih baik dari yang lain. Kita juga patut bersama- sama menyokong pemimpin kita untuk menjayakan apa saja rancangan dan tindakan yang boleh memberi kebajikan bersama.
• Para pemimpin pula tidak patut menunjukkan kuasa yang tidak berpatutan, seperti suka membesar diri, sombong, dan bermegah. Pemimpin dan yang dipimpin perlu bekerja bersama-sama, bermuafakat, berunding dan sama-sama mencapai kebaikan masyarakat selaras dengan semangat bergotong- royong. Pemimpin yang baik ialah yang murah hati kepada pengikut.
“Sungai Pahang sama direnangRenang menuju Tanjung BeranganKerja susah jadi senangKerja berat jadi ringan...”
• Bertutur dengan dipimpin patut menggunakan bahasa yang sopan dan mengelakkan bahasa kasar. Dahulukan ucapan dengan perkataan ‘maaf’ atau ‘tolong’, seperti “Maafkan saya, boleh tidak saya bertanya?.”, “Maaf, saya tidak bersetuju dengan pandangan tuan”. Tidak perlu kita berkasar dan berkeras dalam bahasa dan kelakuan.
• Hidup bermasyarakat memerlukan tutur kata yang sopan, perangai yang halus dan pekerti yang mulia. Seperti kata orang; mulut mesti manis, hati mesti baik. Kelakuan harus selaras dengan kedudukan masing-masing dan tidak menjejaskan silaturrahim antara sesama kita.
Dari Abi Hurairah Radiallahu-Anhu, RasullulahS.A.W bersabda :-
Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia memuliakan jirannya.(Riwayat Al-Imam Muslim)
Masyarakat Umum
• Anggota masyarakat yang berbudi adalah orang yang menunjukkan perangai, kelakuan serta peribadi yang baik dan sentiasa menjaga dirinya dari segala macam kelakuan buruk yang tidak disetujui oleh masyarakat.
• Di kalangan anggota masyarakat elok kita saling menghormati dan memberi bantuan terutama kepada warga tua, warga istimewa, wanita dan kanak-kanak.
• Sentiasalah beratur ketika ingin mendapat sesuatu seperti membuat bayaran di kaunter atau menaiki bas. Jangan sekali berlaku kasar, menolak dan melanggar orang ketika berjalan atau ketika membeli belah.
• Sentiasa sabar dan baik hati ketika menunggu lampu lalulintas ketika berkenderaan di jalan raya terutama ketika di simpang dan memasuki simpang. Kita tidak perlu terlalu berebut-rebut dan memotong orang dengan kenderaan. Ia membahayakan nyawa.
• Bertimbang rasa adalah amalan budi yang amat baik. Tidak perlu kita bercakap dengan suara yang tinggi dan bising di tempat-tempat awam. Kawal diri dan suara kita kerana orang lain juga memerlukan ketenangan itu.
• Mengelak dari melakukan kekotoran dan membuang sampah adalah budi yang baik. Lebih baik lagi jika kita bersama mengutip sampah yang berselerak, membuang dalam tong sampah supaya suasana tidak kelihatan buruk.
• Tunjukkanlah budi bahasa yang mulia terhadap semua orang terutama kepada pelawat dan pelancong dari luar. Ia memancarkan peribadi yang beradab dan negara dan bangsa yang bertamadun. Seperti kata pepatah, budi bahasa tidak dijual-beli. Ia percuma dan murah.
Institusi Pembelajaran
Antara Guru dan Pelajar.
• Guru patut sentiasa mendidik murid-murid bukan saja dengan segala ilmu bahkan dengan budi bahasa dan akhlak. Dari awal persekolahan lagi mereka harus belajar menghormati guru.
• Sekolah juga mesti mendidik disiplin yang membolehkan setiap pelajar berkelakuan baik, teratur dan aman. Mereka mesti berdisiplin termasuk beratur pada masa perhimpunan mingguan, masuk ke dewan, duduk di bilik darjah dan ketika bertemu para guru dan Pengetua. Ucapan “Selamat Pagi”, “Assalamualaikum” dan sebagainya merupakan amalan terbaik. Para guru dan kakitangan sekolah yang menjadi teladan tentang kelakuan baik dan budi bahasa.
• Budi bahasa adalah juga pelengkap kepada semua nilai yang telah diajarkan di dalam kurikulum dan juga mata pelajaran agama dan moral. Dengan amalan budi bahasa kita dapat mengelakkan segala macam‘masalah sosial’ .
Antara Pelajar dan Guru
• Membiasakan diri mengucapkan salam dan terima kasih.
• Menyampaikan pendapat secara sopan tanpa menyinggung perasaan.
• Menggunakan bahasa (kata) yang sopan dan beradab, tidak menggunakan kata-kata yang kotor dan kasar serta berunsur cacian dan lucah.
• Berani mengakui kesalahan yang dilakukan serta sentiasa bersedia untuk memohon maaf.
• Mentaati jadual sekolah dengan mengikuti waktu persekolahan dan tidak ponteng.
• Menjaga kesihatan dan kebersihan diri, sentiasa berpakaian kemas dan rapi, menjaga kemudahan sekolah serta memastikan kawasan sekolah termasuk tandas sekolah sentiasa dalam keadaan bersih dan selesa.

Antara Pelajar Dengan Pelajar Serta Rakan Sebaya

• Membiasakan diri mengucapkan salam atau ucap selamat sesama rakan pelajar serta rakan sebaya.
• Saling menghormati sesama rakan, menghargai perbezaan beragama, latar belakang masyarakat dan budaya masing-masing.
• Menghormati dan menghargai idea, fikiran dan pendapat serta hak milik rakan sebaya.
• Saling bantu-membantu dan bekerjasama sesama rakan sebaya.
• Tidak mengganggu suasana dan ketenangan belajar di kelas, perpustakaan, makmal dan di tempat- tempat lain.

No comments: